As’salamualaikum semua pembaca…
Usia perkahwinan saya memasuki tahun ke 4, dan mempunyai seorang cahaya mata.. Kali ini, adalah kali ketiga suami melarikan diri daripada rumah. Sebelum ini kami menumpang di rumah mak saya, dan berlaku sedikit pergaduhan diantara kami dan suami keluar dari rumah secara tiba-tiba selama beberapa hari. Dan kerana adik beradik sebelah suami meminta kami berbaik, dan akhirnya saya menerima suami semula dan demi anak.
Kali kedua suami melarikan diri daripada rumah adalah apabila saya sedang mengandung dan kami telah bergaduh Sepanjang suami menghilangkan diri selama hampir 2 minggu, saya menghadapi tekanan dan akhirnya menyebabkan saya keguguran. Ketika itu anak sulung saya sudah berusia 1 tahun lebih dan agak lasak. Sepanjang tempoh keguguran dan berpantang, tanpa suami disisi. Nasib masih ada ahli keluarga saya yang sentiasa disis. Dan kerana kasihankan mak dan ayah mertua yang meminta kami berbaik, dan akhirnya saya menerima suami semula tetapi suami meletakkan syarat untuk tinggal berasingan daripada rumah mak saya. Saya berusaha membina rumah dan membuat pelbagai permohonan pinjaman bagi membuat rumah diatas tanah pemberian mak. Untuk urusan pembinaan rumah, semua saya uruskan sendiri kerana apabila ingin bantuan suami, suami akan berkata dia tidak tahu apa-apa. Berkat pertolongan mak saya, alhamdulilah saya berjaya mempunyai rumah sendiri.
Kali kedua keguguran suami menemani di hospital tetapi perkataan yang tidak akan pernah saya lupakan adalah selepas doktor selesai membuat pembersihan rahim, suami seperti memarahkan saya kerana lama dia menunggu. Dan tidak langsung bertanyakan keadaan saya. Pada hari pertama berpantang, katanya perlu bekerja tetapi saya dapat tahu suami telah ke CC bagi bermain game (kerana saya membuka telefon dia dan terjumpa perbualan suami dan rakan gamers yang lain). Suami seorang kaki gamers. Kerja-kerja rumah dan urusan anak banyak diselesaikan oleh saya kerana anak memang rapat dengan saya berbanding dia dan urusan rumah adalah tanggungjawab seorang isteri katanya.
Apabila tekanan dengan tempat kerja, balik kerja urusan rumah perlu dijalankan, urusan anak perlu diberi perhatian tanpa bantuan suami bagi meringankan beban menyebabkan mana-mana isteri mempunyai sifat marah dan sedih sekaligus akan menyebabkan seorang isteri sentiasa membebel. Mana tidaknya, kalau suami balik kerja perkara pertama akan dibuat adalah main game di handphone sehingga malam. Keadaan rumah memang tidak akan diberi perhatian.
Walaupun minta mengambil mentol yang terbakar untuk saya membeli, tetap juga suruh saya mencari tangga. Sebarang kerosakkan didalam rumah, saya yang perlu cari penyelesaian. Bangun pagi untuk ke kerja, suami hanya akan bangun, mandi dan siap. Saya pula perlu masak untuk bekalan anak, siapkan baju saya dan suami, mandikan anak, siapkan anak, siapkan diri sendiri. Dan akhirnya pada suatu hari, saya terlepas cakap agar biarlah kita bercerai kalau semua nya diuruskan oleh saya seorang.
Dan pada malam tersebut, suami memang tidak lagi pulang kerumah dan semua baju suami pun telah dibawa bersama. Saya tidak lagi sedih mahupun tertekan, mungkin kerana telah biasa. Dan untuk kali ini, tiada lagi ruang atau peluang akan saya berikan untuk suami kembali. Walaupun selama ini suami pernah melarikan diri dari rumah, suami tidak pernah meminta maaf kerana baginya, ini adalah kerana salah saya. Dan sekarang, seperti keluarga suami juga menyalahkan saya (saya tidak bercerita pada mereka punca pergaduhan, kerana pasti semua akan menyokong suami)
Selepas tempoh tiga bulan akan datang, saya akan menuntut fasakh di mahkamah kerana yakin suami tidak akan lafazkan cerai dan akan membiarkan begitu saja. Dan sekarang, saya akan tetap kuat demi besarkan anak saya. Saya mempunyai keluarga yang sentiasa support saya, seorang kawan perempuan di pejabat yang sentiasa mendengar luahan hati saya. Dan saya mempunyai kerja yang kukuh, mempunyai rumah sendiri dan kereta sendiri. Saya yakin saya akan berjaya membesarkan anak saya tanpa seorang insan bernama suami. Mohon doakan saya terus kuat, terima kasih.




