Assalammualaikum wbt admin dan warga KRT. Pohon disiarkan segera kerana saya amat memerlukan pandangan sebelum membuat keputusan dalam masa terdekat ini. Pertama kali saya menulis di sini walaupun telah banyak kali saya dihimpit masalah rumahtangga yang berat. Akhirnya untuk masalah kali ini saya perlukan beberapa pandangan supaya tindakan yang akan saya buat ini betul, tepat dan tidak menyesal di kemudian hari.
Biar saya kenalkan dulu situasi saya dan suami. Saya berusia 37 tahun, memiliki ijazah dan bekerja sebagai seorang penjawat awam. Semasa di zaman bujang saya mempunyai ramai peminat kerana sifat semula jadi saya yang lembut dan boleh dikatakan seorang yang menarik. Tetapi selepas berkahwin saya telah berubah sikap dan bila bergaduh dengan suami memang saya mengaku saya biadap dan kurang ajar hasil didikan sang suami.
Suami pula seorang tukang rumah dan dari segi penampilan dia agak tidak kemas orangnya. Kami memiliki 4 orang anak. Yang sulung berusia 6 tahun dan yang bongsu berusia 11 bulan. Suami seorang yang sangat rapat dengan anak-anak dan tidak pernah berenggang walau sehari dengan anak-anak. Pernah sekali itu saya balik ke kampung selama 4 hari tanpa suami. Walaupun sebelum tu suami amat berat nak lepaskan saya balik ke kampung dengan anak-anak tetapi akhirnya dia izinkan juga.
Anak-anak sangat rindukan ayah mereka dalam tempoh tersebut sehinggakan asyik bertanya bila ayahnya akan datang. Walaupun mereka sangat suka balik kampung tapi rupanya tanpa ayah mereka, keseronokan itu hilang. Tanpa pengetahuan saya, baru beberapa jam sampai di kampung anak yang berusia empat tahun menghantar rakaman suara dia kepada ayahnya melalui aplikasi whatapps menyatakan betapa rindunya dia kepada ayahnya dan bila ayah nak datang kampung.
Bila saya pegang telefon baru la saya perasan ada mesej tersebut. Memang saya terkejut sebab saya tak tahu anak saya pandai menghantar voice message dan pandai mencari nombor ayahnya. Apa yang saya nak ceritakan di sini adalah anak-anak sangat rapat dengan ayah mereka. Tindakan yang bakal saya ambil iaitu berpisah adalah tindakan yang akan banyak melukakan mereka. Saya tersepit kerana kasihankan anak-anak tetapi perbuatan suami memang tak boleh dimaafkan lagi.
Suami juga seorang yang sangat ringan tulang membantu kerja-kerja rumah dari membasuh baju, membasuh pinggan, mencuci tandas, membersihkan dapur, memandikan anak dan membasuh najis anak memang dia selalu membantu. Atas sebab itu saya cuba pertimbangkan kebaikan itu dan menerima kelemahan-kelemahan dia yang lain. Tujuan saya bercerita semua kebaikan suami adalah supaya sebarang penilaian yang akan dibuat oleh pembaca sekalian adalah adil untuk dia kerana saya tidak semata-mata mendedahkan sikap dan sifat buruk suami sahaja.
Ok berbalik kepada masalah saya adalah penipuan yang dibuat oleh suami. Selama 8 tahun perkahwinan kami, saya yang banyak menanggung keluarga. Walaupun gaji kami hampir lebih kurang sama tetapi disebabkan suami sering mengambil gaji secara harian maka duit gaji tidak pernah terkumpul apabila di hujung bulan. Gaji saya hanya RM1,400 selepas ditolak duit rumah dan pelbagai pinjaman lain.
Daripada jumlah tersebut RM900 adalah untuk pengasuh anak-anak dan duit persekolahan anak, RM 120 untuk bil utiliti, RM 200 untuk beli keperluan pampers dan susu anak-anak serta barang dapur dan pada masa yang sama suami mesti akan minta duit untuk isi minyak kereta, tukar tayar pecah, tukar minyak hitam dan sebagainya. Itu tak termasuk lagi kereta rosak sampaikan saya kalau nak beli tudung sehelai rm10 pun bertangguh-tangguh setiap bulan memikirkan keperluan anak-anak lagi penting.
Semua saya yang bayar, dalam 80% perbelanjaan di bawah saya. Duit gaji dia hanya untuk beli barang-barang dapur, susu pampers anak apabila habis dan duit minyak kereta. Itupun sentiasa tidak cukup. barang-barang dapur seringkali kering sehingga beras pun habis, susu anak habis, pampers habis. Mungkin ada yang akan kata kenapa saya tak bijak kerana menanggung semua perbelanjaan itu.
Pernah saya serahkan untuk bayaran bil api dan air sahaja kepada dia. Kesannya kami bergelap dan air dipotong. Bayangkan saya ada anak-anak kecil yang kepanasan dan kegelapn. Terlalu kerap berlaku dan kesannya buat lagi tersepit kerana apabila dipotong , terpaksa pula cari duit untuk settle kan keseluruhan tunggakan dan kos sambung semula elektrik dan air yang tinggi juga.
Apabila saya menyerahkan untuk bayaran pengasuh anak kepada dia, ia sampai menjadi isu dan sengketa pula dengan pengasuh sebab tertunggak bayaran berbulan-bulan sampaikan akhirnya saya juga perlu mencari jalan untuk membayar. Pendek kata apa sahaja yang diserahkan kepada dia akhirnya akan membebankan saya kembali.
Kes terbaru yang berlaku yang membuatkan saya menulis di sini adalah kes suami mencuri duit simpanan kecemasan saya. Saya merahsiakan duit simpanan tersebut untuk kecemasan. Sanggup saya ke tempat kerja dengan kasut yang buruk dan hampir terkoyak tapi tetap tak mahu menggunakan duit itu untuk membeli kasut. Suami jenis yang tak boleh tahu saya ada duit simpanan pasti diminta keluarkan walaupun ada RM10.
Tetapi duit saya dicuri dalam bank A semasa saya dalam berpantang anak bongsu. Langsung tidak ditinggalkan baki. Kemudian dia mereka seolah-olah kes pecah masuk rumah dah memotong kad bank A tersebut. Dia berlakon cemas, memeriksa keadaan rumah dan membuat laporan polis berhubung kes pecah masuk rumah tersebut. Untuk makluman semua, setiap pergerakan saya ke mana-mana semuanya dihantar suami.
Selepas berkahwin suami tak benarkan saya memandu, saya pun jenis yang takut memandu jadi saya ikutkan sahaja. Saya ajak suami ke bank B untuk buat kad ATM saya kerana itu akaun gaji saya. Selesai di bank B, saya mengajak ke bank A pula. Semasa nak ke bank A, suami dapat call (ataupun pura-pura) ada lori nak hantar barang di tempat kerja yang akan sampai lagi 15 minit. Makanya tidak jadi ke bank A.
Selepas menghantar saya di rumah, dia kata driver lori bagitau belum sampai lagi dan lebih kurang sejam juga dia berada di rumah. Sehinggalah dah 8 bulan lamanya saya masih belum boleh buat kad ATM bank A yang baru kerana suami selalu beralasan sibuk kerja. Sampaikan saya sanggup nak naik teksi atau grab tetapi dilarang oleh suami kerana memang sikap dia tak benarkan saya ke mana-mana tanpa dia.
Akhirnya beberapa hari lepas saya ke bank kerana perlu pulang ke kampung atas urusan penting dan semasa ingin membuat kad baru pegawai bank memaklumkan akan membuat potongan caj untuk kad baru. Saya minta dipotong dari akaun tetapi diberitahu akaun saya tidak cukup dan tinggal RM20 sahaja. Di situ la saya minta penyata bank dan melihat dari penyata setiap hari dia mengeluarkan duit simpanan saya sehingga habis dan mencipta kes pecah rumah.
Saya terus teringat ayah saya pernah datang ke rumah dan bagitahu kalau tengok dari keadaan rumah saya dan pokok berhampiran, pencuri memang tak boleh masuk melalui bumbung. Ayah kata mungkin semua ini helah suami tetapi saya diam sebab berfikir atas sebab apa suami nak buat macam tu kerana saya belum keluarkan gaji pada masa itu dan dia pun tahu.
Saya beranggapan kad-kad bank saya dipotong kerana pencuri marah dan geram tidak mendapat habuan setimpal. Lurusnya saya. Kebetulan pula, malam tu dalam pukul 8 malam suami dan anak-anak melihat kelibat remaja cuba mengendap-ngendap di sekitar rumah. Jadi saya beranggapan remaja itu yang lakukan. Hancur dan remuk redam hati saya.
Simpanan yang saya usahakan dengan susah payah, hilang macam tu sahaja. Untuk apa dia gunakan duit itu sedangkan sepanjang saya dalam tempoh pantang sehingga sekarang sehelai baju anak yang kecil itu tidak pernah dia beli. Saya bersalin satu sen dia tak keluarkan duit. Semua saya usahakan sendiri. Malah saya baru 3 jam keluar labour room suami dah ngadu tak ada duit nak beli beras sebab mak dan ayah saya datang rumah untuk melawat dan jaga saya seminggu. Pendek kata sehingga hari ini langsung dia tak keluarkan belanja untuk anak yang baru lahir.
Kes curi duit dari bank ini dah banyak kali berlaku sebelum saya tersedar. Mulanya saya ingat saya yang tersilap kira. Semasa saya sarat mengandung 8 bulan, memang saya mengamuk dan menangis teruk kerana duit simpanan khas untuk bersalin dan beli barang keperluan hilang dalam akaun. Mujur tak terjadi apa-apa kepada saya dan kandungan kerana tekanan yang teruk. Dia seperti biasa minta maaf dan berjanji berpuluh-puluh kali akan bayar kembali esoknya. Tetapi memang dia tak pernah bayar.
Kemudian terus saya tukar nombor pin dan sebenarnya dari sebelum ini saya terlalu kerap menukar nombor pin ATM kad kerana sikap dia sehingga akhirnya saya sendiri terlupa nombor pin kerana terlalu kerap bertukar sehingga terpaksa kena buat kad baru. Tapi semasa saya dalam wad hendak bersalin saya ada bagi dia kad bank B kerana dia perlu beli barang dapur dan susu anak. Dan jumlah di dalam akaun pun sedikit sahaja baki, sekadar untuk beli barang keperluan.
Kesilapan saya adalah kad bank yang satu lagi pun saya letak nombor pin yang sama walaupun saya dah sorokkan kad ATM tu. Sepanjang saya di hospital kad ATM tu ada bersama saya. Semasa saya berpantang di rumah dia senyap-senyap cuma try kad ATM bank B yang saya sorok dan gunakan nombor pin yang sama. Sebelum itu, dia ada ambil duit gaji saya dari bank B, dan saya hampir meroyan marah kerana saya perlu bayar banyak komitmen lain.
Mujur saya ada internet banking bagi bank B, jadi saya dapat trace duit gaji saya dikeluarkan padahal saya tak tahu hari tersebut merupakan hari gaji masuk. Dia minta maaf dan berjanji untuk bayar esoknya walaupun saya memak1 dia kerana tahu dia tak akan boleh bayar. Memang sehingga kini tidak dibayar. Pada masa itu saya bagi amaran kepada dia sekiranya perkara ini berulang saya akan buat laporan polis dan hubungan kami pun tamat.
Saya dah cukup penat dan kecewa kenapa perangai suami saya macam ni. Mencuri duit isteri sendiri. Rupa-rupanya selepas itu, dia tetap buat dan mengeluarkan duit simpanan kecemasan saya dari bank A tanpa saya sedar kerana kad saya dah dipotong dalam kononnya kes pecah rumah dan saya tak ingat internet banking bagi akaun tersebut tetapi sentiasa percaya saya ada simpanan kecemasan kalau berlaku apa-apa.
Maaf atas cerita yang panjang lebar ini. Saya memang nekad nak berpisah. Tak mampu nak teruskan hidup dengan orang kaki penipu. Kebanyakkan perkara yang dicakap kebanyakkannya menipu. Oh ya terlupa nak bagitahu suami juga suka main nombor ekor. Saya pernah nasihat dan marah pasal nombor ekor. Sekarang saya tak pernah jumpa dah resit nombor ekor tetapi saya percaya dia masih buat dan sembunyikan dari saya. Mungkin disebabkan itu, rezeki tak berkat dan sering tak cukup duit.
Soalannya di sini, saya nak minta pendapat tuan puan perlu ke saya buat laporan polis berkenaan kes kecurian duit dari akaun saya dan laporan polis palsu yang dibuat suami? Dia pernah cakap dia takkan lepaskan/ceraikan saya. Jadi tujuan saya buat laporan polis adalah untuk menyokong permohonan cerai saya nanti. Wajar ke saya buat macam tu? Saya just risau dan takut kesannya sebab dia bapa kepada anak-anak saya dan masih ada rasa simpati. Tolong la bagi pandangan yang membina, penting untuk saya buat keputusan. Terima kasih.




