Assalamualaikum warga KRT
Saya wanita berumur 31 tahun yang sudah berkahwin selama 8 tahun dan belum mempunyai anak (pernah mengandung beberapa kali tapi keguguran. Saya mempunyai seorang suami yang baik hati walaupun sebelum ini pernah ada konflik rumahtangga 1 tahun lalu sehingga pernah bercerai sudah rujuk namun setelah konflik melanda, suami berubah, saya pun telah memaafkan suami dan kami bahagia kembali.
Pada bulan Ogos 2018 saya telah melanjutkan pengajian master selama setahun di university IPTA terkemuka dan bersyukur suami mengizinkan saya dan membiayai pengajian saya. Saya hanya berjumpa suami sebulan sekali sahaja kerana IPTA tempat saya belajar jauh dari tempat suami bekerja. Semasa di pengajian saya menyukai rakan sekelas, seorang lelaki bujang yang berbeza umur 7 tahun dari saya dan Ini pertama kali saya meminati lelaki lain selepas berkahwin.
Saya dapat merasakan lelaki tersebut meminati saya dan selalu tersenyum serta berbuat baik dan mengambil berat kepada saya meskipun dia tahu saya sudah berkahwin. Kami selalu membuat assignment dan belajar bersama kerana kebanyakan tugasan kami sekumpulan.
Tetapi tidak pernah berdua sebab selalunya akan membuat tugasan bersama rakan sekelas yang lain.
Kami belum pernah bercerita tentang peribadi. Hanya berbincang tentang pelajaran dan bergurau senda dengan rakan sekelas lain. Saya melihat dia seorang yg matang meskipun dia masih muda dan sangat menghormati perempuan.
Mungkin kerana personalitinya dan kematangan yang membuatkan saya berminat terhadapnya. Pernah saya terbangun tengah malam saya sembahyang sunat taubat agar perasaan ajnabi saya ini hilang dan biarlah perasaan cinta ini diganti dengan cinta kepada Allah, Rasullah dan suami sahaja. Setiap kali sembahyang 5 waktu saya berdoa juga. Mungkin ini adalah ujian saya untuk melawan hawa nafsu. Saya akui saya masih menyukainya walaupun saya melawan dan secara tidak langsung kurang perasaan cinta dengan suami.
Setiap hari saya berjumpa dengan lelaki itu di kelas dan kadang-kadang dia akan duduk sebelah saya jika sebelah saya waktu tu tiada org. Tapi kami tidak pernah tersentuh walau sedikit dan dia sgt professional kerana hanya bercakap mengenai pelajaran sahaja. Kadang-kadang saya rasa seperti saya angau kerana sentiasa mengingatinya dan merinduinya. Dan membuatkan saya bersemangat ke kelas setiap hari dan belajar dengannya. Mujahir (orang yang berhijrah) ialah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah dan mujahid (pejuang) ialah orang yang memerangi hawa nafsu.
Saya terus berusaha untuk menjadi seorang mujahid agar saya tidak tunduk kepada nafsu. Walaupun suami saya banyak kekurangan dan pernah membuat kesilapan besar terhadap saya pada masa lalu, namun saya tidak mahu berbuat dosa terhadap suami. Saya ingin setia dengan suami meskipun pernah mempunyai konflik rumah tangga kerana dia adalah syurga saya. Warga KRT sekalian sudilah sekiranya memberi pandangan dan nasihat kepada saya kerana saya tidak ingin tunduk kepada hawa nafsu. Sekian terima kasih




