Salam min. Saya saja nak share pengalaman saya semenjak dah jadi surirumah sepenuh masa ni.
Dulu masa saya bujang, saya bekerja dan mempunyai hidup yang stabil. Disebabkan takde komitmen banyak lagi, jadi duit gaji tu memang saya enjoy je dengan pergi bercuti, bawa family jalan-jalan dan makan-makan kat tempat hipster, beli barang dan hadiah untuk family dan kawan-kawan.
Pendek kata apa saya or family saya nak, saya akan cuba dapatkan dan selalunya alhamdulillah takde masalah. Tapi, selepas saya berkahwin, suami saya meminta saya untuk berhenti kerja dek faktor suami bekerja jauh. Suami saya ni dia kerja biasa-biasa je dan gaji dia ketika itu tidaklah sebesar mana. Pada mulanya saya enggan sebab hati isteri mana yang tak fikir dan risau adakah suami dia mampu untuk tanggung dia.
Tambahan lagi, suami saya masih menanggong keluarganya yang di kampung dan juga adik-adiknya. Jadi kami berjauhan demi karier dan tanggungjawab. Tapi rezeki Allah tu luas, saya telah ditakdirkan mengandung dan kesihatan saya ketika itu menghadkan aktiviti saya seharian. Maka dengan nasihat Dr dan desakan suami, saya akur untuk berhenti kerja dan ikut suami berpindah ke tempat dia bekerja.
Tipu la pada awal minggu menjadi surirumah kita boleh duduk diam kat rumah dengan tak bekerja. Semestinya tangan ni laju je apply kerja2 kosong. Mungkin saya mempunyai background or resume yg mantap, maka saya kerap dipanggil untuk ditemu-duga. Ada beberapa kerja yang saya dah cuba bekerja tapi dek suami tak redha agaknya saya bekerja maka saya berhenti separuh jalan atas masalah kesihatan ketika mengandung ni.
Saya cuba bertahan untuk tidak bekerja dan cuba menjadi surirumah yang terbaik untuk suami saya. Dan sekarang alhamdulillah saya dah 7 bulan menjadi surirumah. Setakat ni saya lihat suami saya bekerja seperti biasa tapi dia mampu untuk mencukupkan keperluan saya, memenuhi keinginan saya yang pelik-pelik ketika mengadung.
Suami juga masih tidak lupa pada tanggungjawabnya pada keluarganya dan juga keluarga saya kerana masih mampu untuk membawa kami jalan-jalan. Apa yang saya lihat, jika saya redha dan sentiasa menggembirakan hati suami dan keluarga di kampung, inshaAllah rezeki suami tu takkan pernah putus.
Pada setiap langkah suami ke tempat kerja saya selalu titipkan doa supaya Allah merahmati langkah dia dan semoga dia dikurniakan kesihatan yang baik.
Pada isteri-isteri diluar sana yang mungkin dilema macam saya dulu, jangan takut untuk menjadi surirumah. Ingatlah rezeki Allah tu luas. Jika niat kita betul maka Allah tu akan memudahkan urusan kita. Kerana kita sebagai isteri, syurga dan khidmat kita hanya pada redha suami.




