Salam tuan admin yang dihormati. Mohon agar akaun ini dirahsiakan. INDAHNYA BERKELUARGA, MANISNYA BERMADU
Apa yang ingin saya kongsikan di sini mungkin berbeza dengan sudut pandang dan pengalaman sebahagian tuan / puan yang ada dalam komuniti ini. Justeru saya tidak menghakimi persepsi dan cara fikir tuan / puan yang menganggap poligami sebagai sesuatu yang negatif. Walau bagaimanapun, semoga perkongsian saya memberi manfaat kepada yang melalui kejadian hampir serupa seperti saya.
Nama saya Farah. Seorang Pengarah di sebuah Jabatan Kerajaan yang berkhidmat di dalam suatu skim yang sering disalah erti dan dipersalahkan. Tidak perlulah diteka skim apa. Saya telah berkahwin selama 27 tahun dan mempunyai tiga orang anak. Anak sulung saya kini berusia 26 tahun dan baru mula bekerja di bawah sektor kesihatan awam. Suami saya seorang juruaudit profesional dan pendapatan isi rumah kami melebihi 20 ribu ringgit sebulan.
Suami saya telah berkahwin seorang lagi 7 tahun lepas dengan seorang ibu beranak satu bekerja sepejabat dengannya. Masa itu, perkahwinan kami telah pun mencecah dua dekad. Tuhan saja yang tahu betapa hancurnya hati saya semasa hari pernikahan tu. Saya duduk di rumah menangis sepanjang hari. Malah terus menangis berhari-hari selepas itu pun.
Saya akui perkahwinan kami sering dipenuhi pergaduhan. Kebiasaannya pertengkaran akan dihadkan di dalam bilik tidur kami dan mengunci pintu. Tapi saya tahu anak-anak saya sering memasang telinga dan mendengar. Suami saya seorang yang baik dari aspek kebersihan, membasuh dan menggosok baju sendiri (kerana dia ada standardnya sendiri), menafkahi keluarga secukupnya dan tidak culas ke masjid pada waktu subuh, maghrib dan isyak.
Cumanya, dia seorang yang konvensional. Bersifat ‘alpha male’ yang menebal. Seperti mak ayah era zaman Jepun dulu. Tegas. Tak boleh disanggah kata-katanya. Mudah baran apabila ada yang tak kena. Cemburu yang berlebihan. Tak boleh dibawa berbincang. Sampai satu tahap saya sudah hilang rasa cinta padanya. Apa yang ada hanyalah rasa tanggungjawab kepada seorang suami dan ibu yang ingin melihat anak-anaknya membesar dalam sebuah keluarga yang lengkap.
Kami pernah sepakat semasa awal perkahwinan bahawa saya perlu bekerja. Saya anak sulung yang datang dari keluarga yang amat susah dari Kedah. Dalam keluarga saya, hanya saya yang berjaya memperoleh ijazah dan menjadi penyumbang untuk meningkatkan taraf hidup ibu ayah dan tiga orang adik-beradik yang lain. Lebih separuh gaji saya diberikan kepada mereka.
Tapi selepas beberapa tahun, ketika kedua-dua kami telah mempunyai pendapatan yang baik dan laluan kerjaya yang – dengan izin Allah – selesa, dia mula mendesak agar saya berhenti kerja dan memberi lebih fokus kepada anak-anak yang dah mula membesar. Ya, saya tahu hukum agama saya perlu pentingkan suami. Ya, saya tahu antara peranan ibu adalah membimbing dan membentuk sahsiah anak-anak, apalagi apabila suami mampu menyara keluarga.
Namun, agaknya inilah ujian saya. Saya ada ibu bapa yang membesarkan saya, yang pengorbanan mereka sering buatkan saya menitis air mata semasa terutamanya ketika di menara gading. Terlalu banyak, terlalu tinggi. Keluhuran budi itulah yang membentuk perwatakan dan jatidiri saya. Terlalu kuat tertanam dalam diri saya untuk membantu dan membalas sebanyak budi ibu ayah saya apabila saya dah berjaya nanti.
Ujian saya mendapat pasangan yang tidak berapa selesa dan menerima keluarga saya. Suami seorang yang datang dari keluarga yang agak senang. Hidupnya sentiasa cukup dan teratur sejak kecil. Sangat berbeza dengan bagaimana saya dibesarkan.
Suami tidak mencerca keluarga saya secara lisan. Tapi melalui sikapnya yang tidak gemar pulang ke Kedah (tetapi sering membawa kami pulang ke Pahang), kalau balik pun akan dipendekkan ziarah, akan merungut tentang bahang apabila siang, merungut tentang tandas di luar rumah. Dia juga tunjukkan rasa tak selesa apabila keluarga saya datang bermalam tetapi berseri-seri kalau keluarganya yang ziarah kami.
Kemudian, disuruh pula saya berhenti bekerja. Allah, bagaimana dengan ibu bapa dan adik beradik saya. Suami dah kata akan memberikan nafkah minima sahaja kepada keluarga saya kerana pendapatan kami akan berkurang 40% apabila saya berhenti. Tak cukup duit dan pada suami, keutamaan beliau adalah anak-anak kami terlebih dahulu.
Isu berhenti kerja, ditambah dengan pergaduhan-pergaduhan lain sehari-hari akhirnya membawa kepada suami saya berkahwin lagi satu. Memang dia ada beritahu semasa gaduh. Kalau beginilah hubungan kami, dia akan cari isteri lain. Dia tengok saya tetap tidak berganjak dengan keputusan saya, memang dia betul-betullah madukan saya. Allahu.
Dalam kononnya saya ingat saya dah tak ada rasa cinta pada dia hati saya rasa berderai berkeping keping apabila saya ‘selamat’ dimadukan. Saya tak lalu makan. Prestasi kerja saya menurun. Berat badan dari 58 kilo susut sehingga 45 kilo. Hidup terasa musnah. Saya benci madu saya kerana dialah punca kesakitan ini. Perlahan-lahan saya mula alami kemurungan. Saya sering mengelamun, kehilangan punca dan sukar untuk lelap pada waktu malam.
Madu saya berhenti kerja kerana diarahkan suami sebaik selepas perkahwinan. Suami tetap pulang ke rumah, cuma berselang hari kerana bergilir ke rumah sewa madu. Kami tidak bercakap. Tidak berkomunikasi. Dia buat hal dia dan tidak perlukan apa-apa dari saya. Saya benar-benar rasa dia orang yang terasing. Allah, mengenang kembali keadaan saya saat ini mudah saja air mata kembali terpancar.
Saya akhirnya diselamatkan oleh ibu mertua saya – dalam banyak-banyak orang. Satunya adalah kerana saya tidak tunjuk atau adukan apa-apa pada ibu bapa saya sendiri. Saya memendam rasa tak mahu mereka tahu keadaan saya. Tapi ibu mertua saya sangat ‘observant’ dan memahami. Dia datang tinggal di rumah kami dan banyak memberikan semangat kepada saya.
Dia berikan saya buku ‘La Tahzan’ yang bermaksud jangan bersedih untuk saya ambil pedoman. Dia berulang kali ingatkan saya, suami adalah pinjaman dan amanah kepada kita dari kekasih yang sepatutnya kita letakkan paling agung iaitu Allah SWT. Semua yang jadi atas dunia ini adalah ujian dari kekasih agung kita. Dia nak lihat bagaimana kita menghadapi ujian-ujian tersebut dalam kita mengaku kita beriman kepadaNya. Selagi mana kita tidak dizalimi, berbaktilah pada suami kita. Allah..
Ibu ajarkan saya selawat-selawat agar hati saya redha dan tenang. Cukuplah ALLAH sebagai penolong kami, dan ALLAH adalah sebaik-baik pelindung. Berulang-ulang saya ratibkan tatkala hati saya kadang tersesar ditiup syaitan.
Dalam keadaan hati saya semakin pulih, fikiran saya kembali teguh, anak sulung saya yang ketika itu belajar di UIA dalam bidang Sains Kemanusiaan dengan pengkhususan Psikologi banyak berbual dengan saya.
Dia kata, dah lama dia ingin berbicara dengan saya. Malah salah satu sebab dia ambil jurusan psikologi adalah kerana ingin meluaskan lagi ilmunya dalam bidang berkenaan dan boleh digunakan untuk membimbing saya. Dia ceritakan pada saya bahawa masalah terbesar dalam hubungan saya dan suami adalah komunikasi. Dia ceritakan hal sebegini memang lazim berlaku kerana perwatakan saya dan suami umpama langit dengan bumi. Perlu disatukan dengan ilmu.
Anak meminta saya memahami latar belakang suami. Dia seorang yang ‘skema’. Dia seorang juruaudit. Bagaimana minda seorang juruaudit yang hebat? Teliti, cerewet. Suami datang dari keluarga senang, suami hidupnya sentiasa teratur dan berdisiplin. Ayah mertua juga seorang ‘alpha male’, jadi sedikit sebanyak itulah yang diterap ke dalam minda suami sepanjang dia dibesarkan.
Saya pula dari keluarga susah dan belajar ‘the hard way’ untuk capai ke tahap sekarang. Saya dah biasa menjadi kreatif dan kritis dalam menyelesaikan masalah. Saya jenis berani mengeluarkan pendapat, suka menambah baik sesuatu. Saya pemikir dan anak-anak buah saya di pejabat yang akan memperhalusi cadangan-cadangan saya untuk dimurnikan sebelum dipulangkan kepada saya untuk kelulusan. Saya bukanlah seorang yang gemarkan kerja-kerja halus.
Anak saya pesan, jika kedua-dua kami sedar dengan keadaan ini, pasti lebih mudah menjaga hati, mencari keseimbangan dan bertoleransi. Suami seorang ‘alpha male’, jadi egonya senang tercabar apabila saya berkelulusan PhD dan dia hanya ijazah pertama. Justeru, saya perlu elak dari buat dia rasa dipertikai. Ambillah hatinya, terimalah pendapatnya seboleh mampu selagi tidak memudaratkan kerana itulah yang akan mengusap lembut sifat ego seorang ‘alpha male’.
Anak saya cerita, rupanya dia juga telah berjumpa dengan suami dan berbincang mengenai perkara yang sama. Alhamdulillah pendekatan berhemah anak, suami saya dapat mendengar dan menerima buah fikiran yang dikongsikan. Anak meminta agar suami faham latar belakang dan bagaimana perwatakan saya. Saya bukanlah ingin melawan atau mencabar tetapi memang kedinamikan fikiran saya berlainan dan aktif memberikan pendapat.
Kata anak saya, tiada gunanya kami saling bergaduh dan suruh ubah perangai. Sebaliknya cuma perlu faham karektor masing-masing dan cari keseimbangan. Yang pasti kedua-dua kami sebenarnya nakkan kedamaian dan kemanisan dalam berkeluarga. Kedua-dua kami masih saling mencintai – adapun kini cinta suami telah berganda dua (bukan terbahagi ya) kerana ada seorang lagi isteri.
Mengenai madu saya pula. Alhamdulillah selepas hubungan saya dan suami kembali pulih saya dikurniakan hati yang tenang untuk menerima beliau. Kepada madu, akak sayang kamu kerana Allah. Terima kasih kerana hadir dalam hidup akak.
Madu saya seorang yang tinggi ilmu rumah tangganya walaupun ilmu akademiknya biasa-biasa. Saya banyak belajar tentang bagaimana dia bertutur dan melayani suami, bagaimana dia ambil hati saya dan anak-anak. Madu sering jahitkan baju untuk anak perempuan saya, yang bongsu. Anak-anak juga sukakan ‘ibu kedua’ mereka itu. Saya sendiri telah terpengaruh dengan madu untuk bertudung labuh dan memakai stokin tangan. Madu suka mendengar tentang isu-isu dunia, isu pentadbiran negara dan pengurusan kewangan daripada saya. Kami saling melengkapi dan banyak apa yang saya kurang ada pada dirinya, dan apa yang diri madu tak ada, ada pada saya. Yang untung suamilah. Dia dapat kesemuanya daripada kedua-dua isteri 🙂
Kini 7 tahun kami hidup dalam satu keluarga besar yang baharu, saya terasa lazatnya nikmat Allah dalam hidup bermadu suami telah terima untuk saya terus bekerja saya dapat berikan layanan yang lebih berkualiti kepada suami kerana dia cuma pulang selang sehari. Saya lebih banyak ‘me time’ untuk diri saya sekaligus meningkatkan juga kualiti hidup saya untuk ‘refresh’ dan ‘rejuvenate’. Musim raya, madu dan anak-anaknya tak ada masalah pulang sekali hatta ke kampung saya. Saya juga pulang ke kampungnya apabila giliran tiba. Bila ditanya orang-orang kampung saya, siapa yang ikut balik ni, saya akan jawab dengan gembira, ‘ini adik saya’.
Musim suami sibuk mengaudit di kala ‘peak season’. Demam, sakit atau apa-apa keperluan saya, madu yang bawakan ke klinik, bawa saya ke bank, bawa saya ke pasar (susah nak parking di bank dan pasar tu). Doktor (seorang perempuan) yang bertugas di klinik di kejiranan kami pun terbeliak apabila tahu yang temani saya tu adalah madu. Malah ditawarkan saya untuk berceramah dan memberi inspirasi kepada keluarga-keluarga lain. Namun sehingga hari ini saya masih menolak. Belum bersedia.
Apa yang ingin saya rumuskan di sini. Letaklah Allah ditempat teratas dalam hidup kita. Kita mungkin sering melafaz doa iftitah – solatku, hidupku, mtiku hanya kerana Allah. Namun sejauh mana kita benar-benar menghayati dan amalkan, itu perkara berlainan. Setiap dari kita diberikan ujian hidup yang berbeza-beza. Sesuai dengan kemampuan, sesuai dengan keimanan. Buat yang mempunyai naratif hidup hampir serupa dengan keadaan saya, yang sedang remuk hatinya kerana dimadukan atau mempunyai masalah komunikasi dengan pasangan, saya doakan perkongsian saya memberikan secebis kebaikan buat tuan / puan di luar sana. Semoga kita semua beroleh pengakhiran yang baik. Ameen.




