Bismillahirrahmanirrahim
Salam sejahtera saya ucapkan kepada warga KRT. Tujuan saya menulis adalah hanya untuk berkongsi kisah..
Saya tertarik dengan cerita salah seorang yang mengadu disini.. kerana ceritanya seakan-akan sama dengan cerita saya, namun, saudara lebih bertuah kerana isteri saudara masih ada disisi saudara, namun tidak bagi saya, kerana anak dan isteri saya kini dengan mertua saya.
Berikan sedikit masa untuk saya bercerita masalah keluarga saya. Bukanlah untuk membuka pekung di dada, hanyalah saya ingin berkongsi supaya menjadi pengajaran kepada bakal-bakal pengantin diluar sana…
Saya berkahwin dengan isteri saya sudah hampir 2 tahun, dikurniakan seorang anak yang comel, bijak dan banyak keletah. Asam garam perkahwinan, biasalah, bergaduh itu perkara biasa, then saling memaafi dan kami hidup seperti biasa.
Namun, penghujung bulan april itu adalah turning point dalam kehidupan rumah tangga saya kerana Itulah kali pertama saya mengangkat kaki dan tangan memukul seorang wanita bernama isteri disebabkan tak tahan sangat dengan perilakunya. Walaupun niat saya baik untuk mendidik, namun saya sedar, saya yang bersalah kerana menggunakan kaki dan tangan untuk menghukum.
Akhirnya, mentua dan ibu ayah saya masuk campur. Akhirnya sepakat untuk membawa anak dan isteri saya jauh dari saya buat sementara waktu. Walaupun sudah beberapa kali dia lari ke rumah ibunya sebelum ini jika kami bergaduh, namun pergaduhan kali ini seakan-akan lain. Hati saya menangis, seolah-olah dia akan pergi takkan balik. Saya cium peluk anak saya puas-puas, seakan-akan saya rasa gaduh kali ini akan ambil masa yang panjang untuk pulih.
Isteri saya orangnya baik, namun kepala angin. Bila dia marah dia tak ingat apa. Bila dia marah dia tak kenal suaminya. Tapi saya tau, itu adalah kelemahannya, dan saya sanggup terima kelemahan dia. Bukankah bila kita berkahwin, hidup kita saling melengkapi ? Sejujurnya, isteri saya banyak menjadikan saya seorang yang lebih terurus. Dia berjaya mengubah perangai saya yang hardcore gamer kepada gamer yang cukup la tiga empat kali main games dalam seminggu. Dia seorang yang sangat memahami yang saya cukup sensitif dengan duit. Sesungguhnya banyak benda baik yang ada dalam diri dia yang buat saya sayang pada dia.
Saya masih teringat kata-kata seorang sahabat. sewaktu saya bertunang dia ada kata. “Engkau tu Api, bini kau tu Api, bila gaduh mesti jadi besar. Tapi pasal api kau sejuk, mungkin ada harapan dalam perkahwinan kau” Dengan sedikit harapan inilah saya bergantung demi kejayaan rumah tangga saya. Minggu pertama yang saya lalui selepas kejadian tersebut merupakan minggu terburuk diri saya. Saya menafikan sekeras-kerasnya saya bersalah, namun saya menangis kerana menyesal mengapa saya tergamak memukul isteri saya. Saya mempersoalkan ALLAH kenapa diuji begini…
Mental saya kacau, jiwa saya jadi tak keruan. Saya seperti orang gila. Kejap2 saya lukis azimat, kejap2 saya bertapa, kejap2 saya bersyarah mengenai SEO, kejap2 saya berlakon menjadi pengajar forex, semuanya demi untuk menafikan saya yang bersalah dalam kejadian tersebut. Hingga satu pagi, saya termimpi isteri saya sebab terlalu rindu. Saya bangun solat subuh. Sujud pada ALLAH, angkat tangan berdoa, dan menyebut. Ya ALLAH, sesungguhnya aku sudah redha. Saya tak tau mengapa, air mata saya turun…
Waktu itu, perasaan yang kacau bilau dalam diri saya diangkat dan terus saya merasakan ketenangan. Jika tuan nak tau camne perasaan tenang tu, tuan tunggu sewaktu peralihan masuk nya bulan ramadhan kelak. Tuan rasakan ketika waktu maghrib. Tiba2 jiwa tuan terasa aman. Begitulah perasaan saya ketika itu.
Start pada hari itu, saya lebih banyak diamkan diri, sibukkan dengan kerja. Menongkat lidah menyebut kalimah Tauhid. Walaupun hakikatnya tiap kali saya balik kerja saya akan terasa sebak sebab teringatkan anak saya yang mesti panggil saya waktu saya balik kerja. Nak naik motor pusing kampung.
Saya lebih banyak baca buku pada waktu tu. Dan saya simpulkan bahawa :
1) ALLAH itu pemilik hati manusia. Jika hari ini dia suka, besok dia boleh benci, jika hari ini dia benci, besok boleh suka. Balik pada ALLAH, sayangilah ALLAH, nescaya ALLAH akan berikan kasih sayang dan pelajaran-pelajaran hikmah yang tak boleh difikir akal.
2) Tidaklah manusia itu beriman melainkan diuji. Dan ALLAH menguji hambaNya pada aspek dia yang paling lemah. Wanita adalah kelemahan saya. Jika saya berjaya, nescaya ALLAH akan angkat darjat saya dan melepaskan empangan rezeki yang melimpah ruah.
3) Cinta, kasih sayang bukan bererti memiliki. Cukup sekadar mereka ini hidup dalam hati kita. Kitalah yang menghidupkan cinta itu dalam diri kita. Saya sudah redha, saya boleh terima anak dan isteri saya tidak sebumbung dengan saya. Namun, disebabkan mereka ini hidup dalam hati saya, saya tidak merasa sedih macam sebelum ini. Hal ini saya belajar dari cerita Syeikh Abdul Qadir Jailani ketika beliau menghadapi kematian anaknya.
4) ALLAH ingin saya belajar bersyukur. Jika dulu saya tak bersyukur dengan isteri saya dan mengharapkan bahawa isteri saya akan lakukan ini, lakukan itu untuk saya. Nah, sekarang ALLAH tarik isteri saya dan berikan pelajaran untuk lebih menghargai isteri saya. Saya belajar untuk Qanaah, berasa cukup dengan apa yang ada. Cukuplah sekadar bertanya kabar anak isteri melalui mentua saya, menghantar duit belanja melalui transaksi bank, dapat gambar2 terbaru mereka.
5) Terakhir, saya rasakan ALLAH nak saya berehat. Bila saya rindu pada anak saya, saya akan main permainan anak saya, bila saya rindu isteri saya saya buka almari cium baju dia.
Sesungguhnya, saya rindu pada anak dan isteri saya, namun saya sedar, cinta tak semestinya memiliki. Saya penat, dan saya rasakan ALLAH nak saya berehat.
Moga ALLAH mudahkan saya untuk berehat. ALLAH 3x.




