Hide profile Min (terima kasih). Kisah hidup aku laki bini ni agak lain. Bukan nak buruk kan famili sendiri, cuma biarlah jadi iktibar buat semua. Aku dan suami berkahwin atas dasar suka sama suka. Sebelum tu berkawan 5 hingga 6 tahun. Masa berkawan lagi aku dah nampak ketidak adilan keluarga suami. Suami aku seorang pomen. Walaupun pomen, adakala gaji ciput tapi keberkatannya aku nampak. Suami aku tak pernah abaikan nafkah untuk aku dan anak-anak. Alhamdulillah. Kami tak mewah berbelanja, sekadar cukup dan tak berhutang dengan sesiapa. Aku akui suami rajin bekerja. Pantang ada kerja tambahan, jika larat dia sapu. Aku pula seorang kerani di sebuah kilang. Tiada kerja lebih masa, cukup masa bekerja, aku pulang.
Berbalik pada keluarga sebelah suami. Boleh dikatakan tiap bulan ada sahaja permintaan duit dari adiknya. Dari bujang, sampailah dah beranak 2. Untuk pengetahuan, adiknya lelaki. Tanggungjawab besar sebab dia tu suami. Aku tak berapa nak kisah sebab pada aku siapa lagi yang boleh membantu kalau bukan adik-beradik sendiri. Aku nampak ketidakcukupan si adik ipar ni dari sebelum kahwin lagi. Pinjam-meminjam tu dah jadi darah daging. Hatta pak mertua aku pun rajin meminjam dari suamiku. Sampai tahap nak bayar bil hospital pun minta suami aku lunaskan. Ehh…bini siapa yang bersalin? Suami aku minta pendapat dariku. Aku seperti biasa..takpe lah bang, bukan kita tau nak jadi macam ni. Dia fikir mungkin isterinya bersalin normal, tup-tup kena czer. Kan beza kosnya. Tolonglah dia. Ok suami aku tolong.
Bila aku bertandang ke rumah mertua, punyalah riuh mak mertua aku bercerita. Anaknya kena kerja lebih masa sebab nak lunaskan bil hospital. Sampai 800 lebih punya belanja. Aku dan suami pelik. Cerita kisah siapa ni mak? Kami bertanya. Mak mertua aku kata, siapa lagi kalau bukan si adik ipar tu. Ewah-ewahhhh. Tahap penipuan tu dah mula. Aku hanya diam. Suami aku jelaskan, dia yang lunaskan, tak adalah sampai 800, 300 sahaja. Mak mertua terus tukar topik. Mungkin malu. Lepas dari kejadian tu, kami jalani hidup seperti biasa. Untuk pengetahuan, adik ipar ni kerja main-main. Maksud aku, ikut suka dia nak kerja atau tak. Bila dah bosan kerja disuatu tempat, dia akan buat macam-macam alasan untuk berhenti. Kadang guna alasan anak la. Anak sakit masuk hospital, mak mertua meninggal, bini sakit masuk hospital. Macam-macam lagi.
Aku pernah cuba beritahu mak mertua akan hal ni. Mak mertua jenis menangkan anak. 2 minggu mak tak tegur aku. Aku datang ke rumah, dibuat-buatnya tak nampak. Penyudahnya, aku pulang dengan anak-anak. Pinjam-meminjam duit masih lagi berlaku dalam keluarga mereka. Sampai tahap aku gadaikan barang kemas untuk cukupkan keperluan. Tak mengapa, pada aku duit boleh dicari. Ada rezeki, boleh beli emas lain kali.
Si adik ipar makin besar kepala. Tahap pinjam duit dari aku pun ada. Tapi aku tak pernah beri. Ehh, bini dia pun bekerja. Sama-sama ada pendapatan. Kenapa aku pun nak dipinjam sama. Bila kami dah mula membeli hartanah sendiri, mak mertua makin kuat memerli. Orang kaya ada rumah sendiri, orang kaya hasil duit OT. Apa ni mak? Patutnya bangga sebab si anak punya rumah sendiri. Ini tak, makin diperli-perli. Aku pekakkan telinga, kuatkan hati. Hati aku makin kental.
Si adik ipar rajin juga meminjam dengan orang luar, lintah darat pun pernah. Bila nak lunaskan hutang, dijualnya nama suami aku. Ayat yang biasa aku dengar, duit ada pada abang aku. Kepala otak dialah. Suami aku yang tak tahu hujung pangkal cerita, diugut macam-macam oleh si pemberi hutang.
Tahap kesabaran suami pun ada hadnya. Bukan sekali, tapi banyak kali berlaku. Suami aku mengamuk ditempat kerja. Mujur majikan memahami. Majikan suamiku dah lali dengan cerita si adik ipar. Bukan suamiku yang bercerita. Si pemberi hutang yang canang cerita. Aku dah tak tahan, minta biras nasihatkan suaminya. Terkejutnya aku bila biras kata dia tak tahu-menahu si suaminya buat hutang merata. Sedihnya.
Dalam pada itu, si adik ipar serang aku. Katanya aku ni nak meruntuhkan rumahtangganya. Suami aku mula berang. Sejak dari itu, suami dan adiknya tak bertegur sapa. Biras juga pandang aku sebelah mata. Bapak & mak mertua tak usah dikata, buruk aku jelah yang dicanangnya. Sedih aku memikirkan konflik keluarga. 1 Ramadhan sepatutnya kami sekeluarga berbuka dirumah mertua, tapi tiada jemputan dari mereka. Aku dah siapkan juadah berbuka untuk sedia dibawa ke sana. Suamiku mesej adik-adiknya, seorang pun tak membalas. Sudahnya, kami berbuka anak-beranak sahaja. Hari ni 11 Ramadhan, aku tak jejak lagi ke rumah mertua. Biarlah mereka layan rajuk yang ada. Aku jalani hidup macam biasa.
Suamiku selalu berkata dulu, keluarga abang hanya ingat abang ketika susah sahaja Bila mereka tak ada duit barulah abang dicari. Kalau ada apa-apa berita gembira untuk dikongsi, abang bukan orangnya. Kalau abang tak kerja, mak dan bapak hina sampai abang takut nak telan nasi. Bila abang bekerja dan ada duit, abanglah yang diakui darah daging sendiri. Bersabarlah suamiku.Moga aku dan suami ambil iktibar dengan drama ini. Kami juga akan jadi mertua satu hari nanti. Harap kami sentiasa sedar diri, jangan layan anak dan menantu seperti yang kami rasai. Sekian.




