Assalamualaikum. Maaf sekiranya coretan ini menganggu. Saya ingin meminta pandangan yang boleh membantu saya dalam mencari jalan penyelesaian. Saya memiliki anugerah Allah iaitu anak lelaki yang berumur 3 tahun. Saya juga memiliki perkerjaan yang agak baik dan boleh saya katakan yang saya tiada masalah dalam kewangan. Saya juga telah menyediakan segalanya untuk separuh jiwa saya dari segi tempat tinggal yang baik, nafkah dan sebagainya. Maaf, bukan niat saya ingin meninggi diri, tapi saya telah sediakan segala-galanya yang saya termampu untuk mereka.
Saya ingin meminta pandangan ahli KRT. Mungkin ada juga kekhilafan dari saya sendiri yang saya telah terlepas pandang. Harap Allah SWT mengampuni dosa saya sekiranya saya mengaibkan rumah tangga saya sendiri. Seikhlas hati, niat saya hanyalah untuk menghuraikan simpulan yang timbul. Mungkin tanggungjawab saya untuk menguruskan rumah tangga dan sebagainya. Tapi adakalanya saya terpaksa berkejar untuk menguruskan rumah.
Isteri saya banyak menghabiskan masa dengan telefon, dan mungkin Allah SWT ingin menunjukkan kepada saya. Ketika anak saya bermain telefon isteri saya, saya melihat Whatsupp dan Messenger beliau, penuh dengan perniagaan forex dan ada perbualan dengan lelaki yang saya tidak kenali. Ada juga di dalam whatsupp tersebut, isteri saya telah menjual barang berharga saya seperti ‘gold ’, ‘jam tangan’ dan sebagainya.
Sesungguhnya, demi Allah yang memengang nyawa saya, saya tidaklah terkilan dengan barangan yang telah dijual. Namun saya telah mencuba pelbagai pendekatan untuk mengubah isteri saya. Untuk pengetahuan para pembaca yang budiman, saya terpaksa balik ke rumah pada pukul 10 pagi untuk mandikan anak dan masakkan makanan. Balik kerja, saya akan mengemas rumah dan memasak. Keadaan ini berlaku dan berulang selama 3 tahun. Namun demikian, pendekatan dari segi nasihat berulang-ulang kerap saya berikan.
Saya juga ada mengambil pendekatan dengan mengambil telefon bimbit isteri selama beberapa kali. Namun tiada jalan penyelesaian. Bila di tanya ‘Adakah sayang masih terlibat dengan forex?’ jawapannya adalah tidak. Namun, bukti tidak ke arah itu. Dia masih lagi terlibat dengan forex, rumah tidak terurus dan masa banyak dihabiskan dengan telefon bimbit. Perkara ini berulang dari seminggu selepas kahwin sehingga saat ini.
Saya mengambil sedikit masa berbincang dengan mertua saya untuk jalan penyelesaian. Saya menggunakan pendekatan dari segi tarbiah dan dakwah selama 6 bulan untuk menyedarkan isteri saya. Saya bawa ke kuliah agama, cuba untuk sembahyang berjemaah bersama-sama walaupun adakalanya tidak bersambut. Setelah beberapa tempoh saya mencuba, akhirnya isteri saya telah menyuarakan ingin bercerai dengan saya dan saya telah dimaklumkan oleh kakak ipar saya. Dengan alasan, saya telah mengongkong dan ada cita-cita yang ingin dicapai.
Isteri saya juga sanggup memberikan anak kepada saya dengan syarat saya lepaskan dia tapi mertua saya tidak bersetuju, namun isteri saya masih berkeras. Isteri saya telah maklumkan yang dia tetap dengan keputusannya. Saya mohon, para pembaca tidak mengecam dan memberi sedikit padangan yang mungkin Allah SWT berikan untuk membantu saya dalam meyelasaikan ujian ALLAH SWT kepada saya.
Saya yakin, bukan silap isteri saya sepenuhnya, tetapi ada juga silap saya sebagai imam dan ketua rumah tangga yang tidak pandai membimbing isteri saya. Terima kasih atas masa dan pandangan yang bakal diberikan. Terima kasih juga kepada admin yang menyiarkan luahan saya. Assalamualaikum.