Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Saya Ina dari Perlis. Hati teringin berkongsi perjalanan perkahwinan saya yang baru 6 tahun ini dan belum ada zuriat. Semoga sesiapa yang senasib dengan saya diberi kekuatan untuk bangkit dan bertindak.
Saya berkahwin dengan pilihan keluarga, bapa saudara suami adalah kenalan arwah ayah saya. Keluarga kami telah berkenalan hampir 20 tahun dan saya serta suami langsung tidak pernah kenal atau bersua muka sebelum ini. Keluarga suami datang merisik, keluarga setuju, saya setuju sebab waktu tu umur dah 29 tahun, kemudian bertunang dan berkahwin dalam tahun yang sama. Suami umur 31 tahun semasa kami kahwin. Tempoh bertunang lebih kurang 6 bulan.
Suami bekerja di sebuah syarikat swasta yang stabil di kedah sebagai kerani sebab ada spm sahaja dengan gaji rm2000. Saya waktu bertunang, ada ijazah dan tengah bekerja di kilang sebagai jurutera, gaji saya waktu kerja kilang dalam lingkungan rm3000.
Waktu bertunang, suami mula bercerita tentang masalah kewangan yang dia hadapi, hutang kad kredit. Suami ada hampir 7 kad kredit dan tiap bulan sentiasa tidak cukup duit dan mula meminjam kepada saya. Saya kesiankan dia, dan bagi atas nama pinjam yang sampai kesudah tidak dibayar. Tapi sebab dinamakan CINTA BUTA, saya senyapkan semua dari keluarga saya.
Sampai satu masa, kakak sulung suami bercerita masalah hutang suami kepada bapa saudara suami yang kenalkan kami. Datanglah bapa saudara suami jumpa dengan saya untuk cerita tentang perangai kaki hutang suami. Dia serahkan kepada saya sama ada nak teruskan perkahwinan atau putuskan. Sebab dia tidak mahu hidup saya bermasalah sebab kahwin dengan seorang penghutang. Tapi sebab dah tersayang dan tersuka suami, saya teruskan perkahwinan.
Lepas kahwin 3 bulan, saya dapat rezeki berkerja dengan kerajaan di kedah dengan gred J41. Bermula masalah dalam rumahtangga saya. Perangai suami menjadi makin teruk suka meminjam dan paksa saya buat personal loan. Lepas kahwin 3 bulan, rupanya dia bukan orang yang solat 5 waktu, langsung tak solat. Sedih hanya Allah yang tahu sebab saya seorang yang menjaga aurat dan solat. Dalam tempoh 6 bulan kahwin, terbongkar rupanya suami banyak hutang kad kredit dan pinjaman along sebab zaman muda dia seorang kaki judi Penyesalan terbesar yang saya buat adalah berkahwin dengannya walau telah diberitahu dia seorang penghutang. Jatuh terduduk saya
Tetapi, setiap solat saya sentiasa doakan dia untuk berubah. Saya nak dia solat 5 waktu. Saya berdoa setiap masa dan menangis dalam tiap solat untuk dia berubah. Solat hajat, baca yassin atas nama dia untuk berubah. Gaduh setiap hari sebab duit yang tak pernah cukup. Tiap bulan astro kena potong sebab lambat bayar. Kami tinggal dekat rumah kos rendah milik keluarga suami dengan sewa rm100.
Saya bersyukur sebab dia tak pernah naik tangan atas saya sebab sebelum kahwin saya dah bgtau siap-siap dekat suami dan mak mentua, ‘’saya kalau suami pukul saya, saya akan terus pergi hospital dan terus buat report polis, saya bukan perempuan bod0h yang nak biar lelaki sakitkan saya’’. Dan lagi satu, kalau kami gaduh, suami mula tinggi suara dan macam orang gila, saya akan tutup mulut dan pergi tidur. Malas nak layan anjing menyalak. Saya bukan baik sangat, sebab mulut orang utara ni kasar juga.
Sampai satu tahap, saya tak tahan sangat. Saya ajak suami berbincang tentang hutang dia. Saya suruh dia senarai semua hutang dia ada, dari personal loan, kredit kad, along, kawan-kawan, keluarga. Saya suruh dia bersumpah dan jujur untuk selesai masalah. Lagi sekali saya berkorban untuk suami, saya buat personal loan rm150000 untuk selesai semua hutang dia Semua ni berlaku dalam masa 2 tahun perkahwinan kami.
Semua yang berlaku tiada siapa yang tahu, walau keluarga saya sendiri atau keluarga suami. Semua saya telan sendiri, sebab tidak mahu keluarga saya susah hati. Saya selesai semua hutang dia dengan janji dia untuk solat tanpa tinggal dan semua wang gaji dia akan diberi kepada saya untuk diuruskan. Tiap bulan, sy campurkan gaji kami dan saya bayar hutang, sewa, bil, bagi mak saya dan mak suami, bagi belanja tiap bulan dekat suami. Peritnya Allah saja yang tahu. Tapi hati saya terubat bila suami solat tanpa tinggal, terima kasih Ya Allah.
Duit boleh dicari, tapi iman perlu di hati. Hidup terlalu susah 2 tahun pertama. Tapi tiada siapa yang tahu. Kekuatan saya hanyalah solat dan doa. Saya tiada sesiapa untuk meluah masalah saya dan mulut saya terkunci rapat sebab malu nak beritahu masalah rumahtangga kami.
Saya letak keyakinan sepenuhnya kepada Allah dan suami berubah sepenuhnya. Tiada lagi hutang baru, dan suami sentiasa ada dengan saya dan tanya pendapat saya untuk semua perkara yang berkaitan kewangan sebab kejayaan saya urus kewangan kami tanpa ada sebarang masalah ccris dan ctos dalam tempoh 6 tahun perkahwinan ini.
Sekarang, kami mampu membeli rumah teres yang selesa dan lengkap (bulanan rm1300), sebiji kereta (bulanan rm570) dan sebiji motosikal untuk kegunaan suami kerja cash rm8000. Saya dapat duit kwsp sebab pilihan pencen lebih kurang rm45000 lepas 3 tahun bekerja. Duit tu saya simpan sampai tahun kelima untuk buat renovation rumah, beli kelengkapan rumah dan beli motosikal cash. Sy seorang yang kedekut untuk buat loan sebab bunga tinggi sangat
Sebelum ni suami guna motosikal EX5 waktu dia sekolah tingkatan 4. Yakinlah dengan Allah dan urusan kewangan yang betul dapat mengubah hidup seseorang. Saya tiada masalah dengan keluarga suami sebab suami protect saya sangat kuat dan keluarga suami semua baik-baik termasuk ibu mentua saya (bapak mentua telah meninggal sblm kami kenal)
Untuk semua isteri-isteri di luar sana, terutama bakal menjadi isteri. Bertegas sebagai seorang wanita. Kita perlu hormat suami, tapi ketegasan kita boleh menaikkan maruah dan martabat seorang suami. Sayang biar bertempat, jangan sampai teraniaya. Sila jadi isteri yang bijak. Untuk semua pembaca, doakan semoga kami dikurniakan zuriat yang sihat, sempurna sifat dan soleh solehah. (Keguguran bawah 7 mggu pada 2017 dan 2018). Mungkin ada antara kalian yang Allah cepat kabulkan doa. Selitkan doa untuk kami dan rakan-rakan kami yang belum dikurniakan zuriat. Aminnnnn Ya Allah.




