Assalamualaikum Admin. Please hide fb saya ya. Terima kasih. Saya terbaca satu post tadi pasal dia nak naik mahkamah untuk uruskan penceraian. Buat pengetahuan semua, saya berpisah dengan suami pertama pada 2008 kerana suami kaki judi dan kaki perempuan. Saya mempunyai 2 orang anak bersamanya. Kedua² anak di bawah jagaan saya. Pada ketika talak dijatuhkan anak² masih kecil dan belum bersekolah. Sehingga ke hari ini kedua² mereka tidak dipedulikan oleh bekas suami. Langsung tiada pemberian nafkah kepada kedua² anak. Semua menjadi tanggungjawab saya seorang.
Setelah 6 tahun berpisah saya berkahwin dengan suami kedua pada tahun 2013. Rumah tangga kami diganggu pihak ketiga yang hampir setiap hari memaksa kami berpisah. Pelbagai cara, hasutan, paksaan dan penghinaan dibuat oleh mereka agar rumahtangga kami musnah. Pada penghujung 2015 kami berpisah talak 1 dan oleh kerana sayang masih ada kami rujuk. Namun, kami tidak kuat dan rumahtangga kami tidak dapat dipertahankan. Kami berpisah sekali lagi pada penghujung 2016. Apa yang ingin saya ceritakan pengalaman saya sebanyak 3 kali turun naik mahkamah. Ya saya akui memang sangat hiba. Kita perempuan. Kuat mana pun kita sebagai perempuan mesti terasa. Penceraian memang menyakitkan.
Namun saya bukan orang yang mudah mengalah dengan hidup ini. Setiap kali menghadiri perbicaraan di mahkamah saya akan memakai baju cantik muka bersolek dan senyum agar orang sekeliling tidak nampak langsung kesedihan di wajah saya. saya sedar semua orang memandang saya pada hari bicara. Mungkin pelbagai persoalan yang membuatkan orang berfikir kenapa ya dia berpisah? Kenapa dia senyum? Kenapa dia gembira dengan penceraian? Kenapa dia tidak sedih? Kerana hidup kita sebagai manusia mesti diteruskan. Setiap ujian yang Allah datangkan itu sebenarnya ada sebab. Mungkin hari ini kita kecewa tetapi kita tidak tahu bila bahagia itu akan datang. Bukan ke pelangi selepas hujan turun itu cantik?
Penceraian bukan penutup kehidupan. Kita ada Allah. Membesarkan anak seorang diri bukan membuktikan kita ibu atau bapa yang lemah. Kita ada Allah. Menangis seorang diri bukan menunjukkan kita gagal. Kita ada Allah. Orang dah tak hendak kita buat apa kita nak terhegeh² merayu? Kita ada Allah. Setakat itu sahaja Allah tetapkan jodoh kita. Jadikan perkahwinan yang gagal itu satu kenangan agar esok lusa kita tidak buat silap lagi. Perjalanan kita masih panjang. Bagi yang ada anak buktikan kita mampu jadikan anak kita hebat dan membanggakan. Didik anak sebaik mungkin. Sayangi dan hargai setiap masa yang ada bersama. Mereka saham akhirat kita.
Siapa kata saya tidak menangis?
Tidak perlu rasanya saya menangis di hadapan orang. Cukuplah ketika saya sendirian. Setiap kali saya berhenti menangis saya berharap air mata yang menitis membawa pergi semua penderitaan hati saya. Sedangkan pasir pantai berubah dipukul ombak inikan pula hati manusia, rumahtangga ada pasang surutnya. Rumahtangga umpama perjudian. Saya tewas.
Ingat Allah ada. Tetapkan iman.
Jangan fikir mulut orang. Fikir perasaan kita dan anak² sekiranya ada. Jaga hati Ayah dan bonda sekiranya masih ada. Sentiasa bersangka baik dengan takdir Allah. Jaga diri baik². Jaga tutur kata. Pekakkan telinga. Fokus kehidupan kita. Hidup cara kita. Hormat orang. Sibukkan diri. Cuba selesaikan masalah sendiri. Jangan terlalu bergantung kepada orang. Bantu seberapa banyak orang yang lebih susah dari kita. Ikhlas. Pastikan otak dan jiwa kita segar setiap kali kita bangun pagi. Tidur awal dan bangun awal mampu memberikan kita semangat baru untuk teruskan hidup pada hari seterusnya. Teruskan berdoa. Percayalah ada ‘ganjaran istimewa’ dari Allah buat kita yang istimewa ini kalau tidak di dunia mungkin di akhirat kelak. Insyallah.




