Luahan saya ni panjang sikit. Saya memang tak tahu nak ringkaskan sebab saya nak semua yang baca nampak gambaran yang menyeluruh walaupun tak sepenuhnya. Saya tulis ni cuma nak mengadu. Saya surirumah, ada 2 orang anak. Kawan saya tinggal seorang dua sahaja yang rapat. Yang lain-lain semua dah renggang sejak saya berkahwin sebab dah tak ada masa nak luang bersama-sama. Kalau di Instagram memang nampak macam saya ramai kawan. Banyak comments dan likes sampai beratus. Tapi tu semua kawan yg tinggal hanya dalam Instagram. Saya dah berkahwin selama 4 tahun. Saya tak tahu nak mengadu pada siapa.
Suami saya kerja bergaji stabil. Dah lima angka pun. Kalau ikutkan, gaji tu sepatutnya sangat cukup untuk kami. Tapi tiap bulan mesti rasa sempit. Kadang-kadang macam tak cukup. Kami tak ada kereta mewah. Kereta pun sebuah je. Tinggal di rumah sewa.Duit belanja saya, dia sediakan RM500 sebulan. Tu tak termasuk duit dapur lah. Dulu saya pernah mintak dia naikkan sikit-sikit bila gaji dia naik. Tapi katanya tak mampu dan sebenarnya dia belanjakan untuk saya setiap bulan lebih dari RM500 sebab bayar insurans untuk saya. Bila dia dah cakap macamtu, saya dah malu untuk mintak lagi. Sebab saya sedar itu duit gaji dia. Bukan saya yang bekerja. Saya hanyalah seorang surirumah. Selalunya dia tak bagitahu saya bila gaji dah naik. Saya tahu pun selepas beberapa bulan bila dia terlepas cakap. Kami memang tak ada simpanan. Kalau ada pun tak sampai RM5k. Kadang-kadang saya rasa berdosa sebab bersangka buruk suami saya kedekut. Tapi dia selalu bawa kami makan di luar. Kalau kadang-kadang saya nak makan di tempat yang mahal sikit pun dia tak kisah.
Saya ada busines online kecil-kecilan, tapi tiap bulan dapat lah 200-300. Tak sempat simpan pun sebab duit tu saya guna untuk belanja sendiri. Jujur saya cakap, duit yang dia bagi memang tak cukup untuk saya. Kadang-kadang saya teringin nak belanja mak ayah saya makan sebab saya memang tak mampu nak bagi duit setiap bulan. Walaupun ayah saya memang banyak duit, tapi saya nak dia merasa saya belanja juga. Jadi saya gunakan duit tu. Saya tak sanggup tinggalkan anak pada orang untuk pergi bekerja di pejabat. Saya takut anak-anak terabai kalau waktu kerja saya pun tak menentu macam suami. Walaupun dia kerja waktu pejabat, tetapi lambakan kerja selalu buat dia balik lewat. Kadang-kadang dua tiga hari dia tak jumpa anak-anak sebab anak-anak belum bangun waktu dia pergi kerja, dan mereka dah tidur bila dia pulang.
Saya tak tahu la kalau dia ada buat apa-apa belakang saya. Dia selalu balik kerja lewat malam. Kadang-kadang kami video call, memang saya nampak dia masih di pejabat. Setiap kali dia nak jumpa sesiapa, dia akan bagitahu saya dulu.Dulu boleh dikatakan saya ni cantik Saya ada Degree dalam jurusan perniagaan Saya rasa dia berkenan dengan saya dulu sebab rupa paras saya Sampaikan ada kawannya yang sukakan saya tapi saya pilih dia. Dia memang bangga dengan perkara itu. Tapi sekarang saya dah berisi sikit dan tak cantik macam dulu. Saya dah tak berdandan macam dulu. Bukan saya taknak nampak cantik, tapi saya dah tak mampu nak beli alat solek dan baju cantik-cantik. Saya selalu diet tapi berat badan saya tak turun jugak. Sejak ada anak, berat saya susah sangat nak turun. Saya akan bersolek bila kami keluar. Jangan salah faham, saya bersolek bukan untuk orang lain. Untuk suami saya. Saya taknak dia malu kalau kami terserempak dengan siapa-siapa yang dia kenal. Dah la isterinya hanya surirumah, selekeh pula. Saya rasa dia malu nak tunjuk isteri kepada kawan-kawan sebab dia tak ajak saya jumpa sekali. Saya pun tak ada cakap nak ikut sebab nanti dikata mengada pula. Saya cuba untuk tak buat perangai sebab saya rasa saya dah cukup membebankan dia.
Sejak kami kahwin, suami perlahan-lahan semakin dingin dengan saya. Sampaikan sekarang ni dia tak pernah cakap lembut-lembut dengan saya. Setiap hari ada je salah saya. Anak mandi lambat, anak tidur lambat, anak kacau dia tengok tv, anak kacau dia bersiap, bila saya tak masak (sebab dia selalu balik lambat dan tak makan di rumah) dikata saya selalu tak masak. Bila saya masak, kadang- kadang dia tak makan pun. Selalunya dia akan cakap tak sedap secara tak langsung. Dia akan kata masin sgt, tawar sangat, sampai warna kari saya masak oren sikit pun dia complaint. Macamna saya nak buat kalau serbuk kari tu memang oren? Kalau dengan orang lain (kawan-kawan saya, isteri kawan-kawan dia), dia akan cakap lembut-lembut macam dia bercakap dengan saya sebelum kahwin dulu.
Saya selalu kecil hati sebab saya rindu nak suami layan saya macamtu.Baru-baru ni kami bergaduh sebab perkara kecil dan tak bertegur sampai 2 hari. Walaupun perkara kecil, sebenarnya saya kecil hati sebab dia keluarkan perkataan kesat pada saya. Saya tak menjawab sebab taknak bergaduh panjang lagi. Anak-anak pun dengar. Saya tak pernah check telefon suami. Lepas bergaduh tu saya terfikir nak check masa dia mandi. Selalunya dia bawak telefon ke tandas sebab katanya bosan dan nak membaca sewaktu buang air. Saya nampak dia WhatsApp dengan seorang wanita yang dia baru nak kenal. Mungkin pernah terserempak sebelumnya di pejabat tapi tak pernah bertegur. Saya agak je sebab wanita tu tanya nak panggil dia apa, seolah-olah tak tahu nama pun. Wanita itu bekerja di department lain yang tak ada kena mengena dengan kerja suami saya. Dia ajak wanita tu lepak, tp wanita tu macam layan tak layan. Lepas dia mandi, saya terus tunjuk message tu dan tanya dia. Dia kata dia cuma nak tanya khabar. Saya sedih sangat masa tu. Sudahlah dia nak buat perangai belakang saya, dia anggap saya bodoh pulak bila bagi alasan macamtu. Saya terus menangis. Dia berdolak-dalik dan akhirnya minta maaf. Dia sedar dia tak sepatutnya buat macamtu dan dia cakap tak ada niat untuk main kayu tiga. Cuma nak cari kawan bercerita sebab stress dengan kerja. Katanya sebelum ni tak pernah buat macamtu.
Saya sedih sebab saya rasa macam inilah waktu paling low dalam hidup saya. Sudahlah tak cantik, tak ada duit, suami pulak nak curang dengan saya. Saya bukan bodoh, saya ada degree. Tapi dia layan saya macam saya tak tahu apa-apa. Macam saya tak boleh faham kalau dia mengadu tentang kerja. Bukannya dia tak pernah bercerita hal pejabat. Saya rasa sangat tak dihargai. Saya siang malam jaga anak-anak kami, kerja rumah tak pernah habis, dari dalam pantang sampai anak dah umur 3 dan 2 tahun, saya yang jaga mereka tengah malam. Suami tak pernah bangun buat susu atau berjaga bila mereka tak sihat. Walaupun masa tu saya yangbtak sihat. Saya tak sampai hati nak kejutkan suami sebab dia kena bangun awal untuk pergi kerja. Sepanjang mengandung, saya pergi checkup sendiri sebab suami susah nak ambil cuti. Saya pun tak kisah sebab saya rasa mampu buat sendiri dan taknak menyusahkan. Bila checkup anak-anak pun sama. Saya sendiri yg akan pergi bawak dua-dua anak saya. Bukan saya nak mengungkit, tapi saya sedih sebab langsung tak dihargai. Malah saya dikhianati.
Saya cuba nak lupakan hal ini tapi saya tak mampu. Setiap hari saya akan teringat dan sakit hati. Saya mula fikir perkara yang bukan-bukan. Sebab gaji selalu tak cukup, bawa telefon ke tandas, dan dia selalu balik lewat malam. Saya tak tahu nak mengadu pada siapa. Saya tak cerita pada keluarga sebab taknak malukan dia. Saya juga bukan isteri sempurna, pasti ada yang akan kecam saya. Saya harap ada komen yang akan bantu untuk pulihkan semangat saya. Terima kasih.




