Salam untuk semua pembaca, disaat orang lain menyambut bulan ramadhan dengan perasaan gembira saya ditimpa dengan dugaan yang berat. Bermula dengan suami dan saya dipecat disebabkan mulut orang. Selepas itu saya terima perkhabaran pemakanan saya tak terjaga, tidak mencukupi untuk anak dalam kandungan 30 weeks terlampau kecil anak saya …
saya tahu bersahur dengan biskut kering dan kurma, berbuka dengan air kosong makan apa yg dijumpa adalah bahaya tapi itu dugaan kami. Ditimpa lagi dengan dugaan saya dan pasangan dihalau keluar oleh tuan rumah atas alasan saya tidak bayar sewa, dan hari itu juga suami saya menghilangkan diri. Menjejak suami di rumah keluarganya namun dihalang oleh mak mentua dirampas mas kahwin iaitu rantai emas yg saya bercadang untuk gadai, diambil semua harta yang saya ada melainkan henfon buruk dan diceraikan dengan talak 3. Saya dengan rasminya tiada tempat bergantung berteduh sehingga ke hari ini.
Saya hanya mampu merempat tidur di masjid tapi hari ni dikantoi malah dihina dimaki seperti sampah sebab tidur di rumah Allah. Pernah terlintas mengakhiri semua ini tapi tak sanggup kerana anak dalam kandungan. Saya tak tahu macam mana nak hadapi semua dugaan ni sehelai persiapan anak yang belum lahir bahkan untuk menguruskan diri sendiri pun saya tak mampu Jauh disudut hati saya, perasaan takut kehilangan anak yg saya kandung ni wujud.
Bukan nak simpati tapi saya minta doa anda supaya urusan saya dipermudahkan dan anak saya selamat bertahan. Persoalan saya, adakah rumah kebajikan akan ambil anak saya hanya kerana saya takde tempat berteduh?? Ada ke rumah kebajikan untuk ibu mengandung?




