Salam admin. Mohon hide profile aku.
Cerita aku agak panjang, moga korang dapat ambil pengajaran. Aku surirumah, dah berkahwin hampir 20 tahun.
Bercinta dari zaman universiti.
Bersuamikan dia antara nikmat kurnia yang tak ternilai dari Allah yg Esa.
Dia seorang suami yang ringan tulang, prihatin, pemurah, caring, romantik dan pendengar yang setia. Sentiasa mengingatkan aku dan anak-anak tentang solat, aurat dan agama.
Kebaikan dia bukan hanya pada aku malah pada seisi keluargaku juga.
Aku bahagia. Alhamdullillah.
Ujian menyapa.
Betullah kata-kata yang Allah akan uji kita pada benda yang paling kita sayang. Kisahnya tahun lepas aku dapat tahu suami yang sangat aku cintai telah mempunyai isteri lain.
Mereka dah berkahwin selama 5 tahun lebih dan dah ada 2 orang anak. 5 tahun ya.. bukan tempoh yang pendek.. begitu Allah menjaga rahsia mereka, langsung tidak dapat ku hidu. Hancur luluh berkecai perasaan aku masa tu.
Tak pernah aku sangka suami sesempurna dia akan khianati aku.
Tidak ada sekelumit syak dan curiga aku pada dia sepanjang perkahwinan kami.
Sebab dia sentiasa ada disisi aku waktu suka & duka, sihat & sakit , susah & senang. Tidak pernah sekalipun aku merasa diabaikan.
Dia sentiasa ada bila aku memerlukan. Sentiasa beri yang terbaik sejak sebelum kahwin lagi. Tak pernah berubah.
Aku cuba bertenang dan memberi ruang untuk suami beri penjelasan.
Maduku seorang janda, bekerja di syarikat yang sama dengan suamiku.
Akhlak & peribadi baik suami aku telah menambat hati dia. Dia menyuarakan hasrat untuk menjadi isteri ke-2.
Dia sanggup menerima apa jua syarat asalkan suami aku sanggup memperisterikan dia. Dia sanggup mengalah untuk apa jua keadaan. Dia hanya ingin menumpang kasih dan perlukan bimbingan dari seorang suami. Setelah beberapa minggu berkenalan, mereka bernikah. Selepas itu, maduku berhenti kerja menjadi surirumah.
Sejak dari hari terbongkarnya rahsia itu, Aku mengalami depressi , kemurungan yang dasyat. Tak lalu makan, tak dapat tidur, semangat ku betul-betul hilang sehingga putus asa untuk hidup.
Setiap hari aku menangis mengenangkan penipuan mereka , membayangkan aktiviti mereka di belakang aku, merasa b0d0nya ditipu suami sendiri, aku cuba mencari di mana silapku, aku betul-betul buntu, aku kecewa terluka yang teramat dalam. Memandang anak-anak tak mampu beri kekuatan pada aku.
Aku abaikan tanggungjawab aku sebagai ibu. Aku hanya mahu bercerai. Aku tak sanggup berkongsi kasih. Banyak kali aku usulkan penceraian. Tapi suami tak sanggup melepaskan aku dan anak-anakku juga merayu supaya jangan tinggalkan ayah mereka. Kerana ayah mereka terlalu sempurna dimata mereka.
Suami tetap berada disisiku menumpukan sepenuh perhatian, berzikir memohon kemaafan ,sentiasa memeluk aku, menenangkan aku, menangis bersama-sama aku, dia amat menyesal atas perbuatan dia, kesilapan ini yang perlu dia pikul sepanjang hidupnya, melihat aku dalam keadaan begini meruntun jiwanya.
Dia tak dapat memaafkan diri dia selagi aku berduka. Aku nampak dia juga tertekan. Dia akui dia tersilap langkah, dia sentiasa dihimpit rasa bersalah terhadap aku. Dia tak tenang kerana merahsiakan perkara ni daripada aku. Cuma dia takde kekuatan untuk berterus terang.
Jika tidak kerana dah adanya anak-anak, ingin sahaja dia lepaskan maduku agar dia dapat tebus kesalahannya pada aku. Tetapi dia juga tak mahu menzalimi mereka. Aku dapat rasakan yang suami betul-betul menyesal. Perhatian dan kasih sayang dia terhadap aku bertambah 200%. Aku terlalu berharga dalam hidupnya.
Berbulan-bulan kami melalui proses healing ni. Berbolak balik hati aku, sekejap ok sekejap tidak. Sangat tak mudah. Usaha dan support yang berterusan dari suami, membuatkan aku mula dapat kuatkan diri dan terima hakikat.
Aku sedar segala yang berlaku takkan terjadi tanpa izin Allah. Siapa kita nak melawan takdirNya. Allah nak aku jadi insan yang lebih baik dari yang sebelum ni. Allah dah pilih aku , suami dan madu untuk jalani kehidupan sebegini. Aku pujuk hati aku untuk redha.
Aku akui suamiku memang mampu berpoligami dari segala segi dan mampu berlaku adil. Dia tidak pernah culas nafkah zahir batin untuk kedua-dua isterinya. Aku juga akui maduku juga perempuan yang baik. Dia tahu meletakkan dirinya sebagai isteri kedua.
Untuk hidup tenang, banyak nikmat yang perlu aku syukuri.
Aku perlu maafkan diri aku, maafkan suami aku dan madu. Aku pilih damai, aku nak bebaskan jiwa aku dari belenggu ni.
Aku nak jadi orang yang tenang mencipta bahagia bukan tunggu untuk dibahagiakan. Makin banyak aku memberi makin banyak aku terima nanti. Aku yakin.
Allah nak aku letakkan seluruh pengharapan aku pada DIA, bukan manusia.
Poligami ni semakin mendekatkan aku dengan Allah. Inilah medan mujahadah untuk aku supaya mendahulukan redha Tuhan dari kepuasan nafsu sendiri.
Melaluinya aku makin kenal sifat mazmumahku.
Moga poligami ni menjadi platform aku meluruskan hati. Suami yang disayangi ini hanya pinjaman Allah. Cinta yang murni itu benar-benar milik Ilahi.
Aku bersyukur Allah meminjamkan sifat kasih sayangNya kepada kami.
Tiada sikitpun kebencian aku pada suami malah bertambah subur cinta dan kasih aku pada dia. Begitu juga suami terhadap aku. Kemanisan berumahtangga makin terasa di usia 40an ni. Alhamdullillah.
Aku anggapkan poligami ni satu wake up call untuk aku perbaiki diri, perbaiki hubungan aku dengan Allah, dengan suami dan anak-anak. ‘Me time’ yang ada aku manfaatkan membuat aktiviti yang aku suka, aku hadiahkan diri aku dengan pergi spa & salon, bercuti, beriadah, bersosial , mengikuti kelas agama dan aku dapat rasakan banyak kelonggaran dari segi masa berbanding dulu.
Alhamdullillah syukur atas segala nikmatMu.
Suamiku semakin hari semakin baik menyantuni aku. Segala yang dia lakukan untuk hubungan kami selama lebih 20 tahun ni tidak pernah berubah. Dia tetap memuliakan aku sebagai insan pertama bertakhta dalam hatinya dan tiada siapa yang boleh menggantikan tempat itu kecuali Allah swt.
Rezekinya juga makin bertambah. Alhamdullillah. Hubungan anak-anakku dengan madu dan anak-anak di sana sangat baik. Begitulah aturannya jika Allah dah tautkan hati manusia. Alhamdullillah.
Beristeri dua bukanlah sesuatu yang indah jika tiada sepakat dan maufakat dari kedua-dua belah pihak isteri.
Suamiku amat memerlukan sokongan dari isteri-isterinya untuk membina rumahtangga yang harmoni, sakinah , mawaddah dan penuh rahmah.
Aku juga tak mahu menjerumuskan suamiku ke neraka, jadi aku harus besarkan iman dan hati serta bijak mengawal emosi cemburu. Aku tidak boleh menghalang dia melaksanakan tanggungjawabnya untuk keluarga disana.
Matlamat hidup kami untuk berkumpul semula di syurga maka perlu kami jalani ketentuan hidup ini dengan sabar dan ikhlas.
Aku yakin Allah sentiasa bersama-sama aku. Aku pasakkan dalam diri, segala janji Allah benar. Jika aku tenang, aku menang , syurgalah habuanku.
Aku tak boleh tamak kerana aku tak pernah rugi apa-apa pun.
Meninggalkan suami sebaik ini lagi merugikan aku, dialah ladang sumber pahalaku.
Aku cuba berbahagia dengan takdir aku.
Letakkan Allah di dalam hati , insyaAllah apa pun ujian kita tenang menghadapi. Moga Allah sentiasa kuatkan aku hingga habis nyawa ini.
Korang doakan kami ya. Aku doakan korang juga, baik yang monogami mahupun poligami.
Tiada niat aku untuk mempromosikan poligami kerana aku pasti tidak semua orang mampu. Tepuk dada tanya iman, tanya kemampuan diri. Pesanan aku, Buat suami di luar sana, carilah ilmu sebanyak mungkin sebelum berpoligami, jangan membelakangi isteri yang sedia ada untuk bernikah lagi, berilah kefahaman pada dia agar dia bersedia menempuh alam baru dengan ilmu dan iman.
Sabar selagi dia belum bersedia. Carilah solusi terbaik antara kalian agar rumahtangga yang sedia ada terpelihara kerana selalunya dengan bernikah lagi bukanlah jalan penyelesaiannya. Fikir-fikirkan, jangan ditambah masalah yang sedia ada.
Buat bakal isteri kedua/ ketiga/ keempat, jadilah perempuan bermaruah, bertentanglah empat mata dengan isteri tua, minta restu dan izin darinya supaya rumahtangga yang bakal dikongsi nanti jadi harmoni dan bahagia. Janganlah jadi perempuan peramp4s perosak rumahtangga orang lain. Korang pun nak hidup tenang dan bahagia bukan? Terima kasih sudi membaca.